Salam sejahtera Ke Panel Login  

Sembang2 >> Sembang Diskusi >> esei : Tolonglah...ada masa 3 minggu je nie....
(Pengendali : abe )
 
Hantar Topik Baru | Balas Mesej | Cetak Laman Ini
Dimasukkan oleh Tajuk Topik : esei : Tolonglah...ada masa 3 minggu je nie....
rusila69

1 . Dihantar pada 19hb Apr 2004 3.31:42 ptg   [Edit]
Kawan-kawan sume, saya benar-benar mengharapkan keikhlasan kawan-kawan untuk menolong saya dalam menyelesaikan masalah ini..

Begini, pada pertengahan bulan Mei 2004, saya akan menduduki satu peperiksaan kenaikan pangkat. Salah satu syarat kelulusan ialah menyediakan satu esei yang bertajuk :

BAHASA MELAYU SEBAGAI SALAH SATU BAHASA UTAMA DUNIA : IMPIAN ATAU REALITI?

saya benar-benar mengharapkan pertolongan kawan-kawan sume dalam menyelesaikan maslaah saya ini. Sebenarnya, saya tidak pernah terlihat artikel ini...dan saya sedang mencuba mencari-cari akhbar lama...tolonglah saya....

Saya ada hantar topik ni kat ruangan sembang maklumbalas. Saya tak tahu ruangan mana yang sesuai. Kepada pengendali, kuncilah mana-mana satu yg salah tempat....

IP : 219.93.48.77

motet

2 . Dihantar pada 19hb Apr 2004 3.52:37 ptg   [Edit]
bolehla ambil sikit2


BAHASA MELAYU SEBAGAI SENI DAN SENJATA DALAM MENCIPTA KHAZANAH ILMU

Prof Madya Dr Kamsiah Abdullah
NIE / NTU Singapura

Pendahuluan

Keupayaan bahasa Melayu dalam memperkaya, memperluas kebudayaan masyarakat peribumi Melayu dan bangsa-bangsa serumpun telah dibuktikan dalam jalinan sejarah rantau sepanjang zaman. Bahasa Melayu telah digunakan dalam sistem pemerintahan kerajaan-kerajaan yang besar seperti kerajaan Melayu Melaka, kerajaaan Johor Riau, kerajaan Brunai, Sambas dan lain-lain. Bermula dari kerajaan di pesisir, bahasa Melayu telah berkembang dan dikembangkan melalui perdagangan antara kepulauan yang begitu dinamik dan produktif. Bahasa yang menjadi bahasa perantaraan di sekitar dunia Melayu itu kemudian menjadi alat penyebaran agama dan alat perubahan dari jahiliah ke cahaya kebenaran agama Islam yang diterima oleh peribumi secara redha dan aman sejahtera.

Di bawah tekanan pertembungan, peperangan dan penjajahan Barat, bahasa ini dapat menjadi alat perubahan ke arah kehidupan berasas ekonomi moden. Semangat dan jiwa bahasa inilah yang menjadi jentera atau perjuangan yang meraih kemerdekaan bagi rakyat yang bangun melawan penjajahan Barat.

Dua konsep – seni dan senjata ini akan kami bincang menurut dimensi fungsi sosial bahasa yang hidup dinamik dalam masyarakat Melayu sepanjang zaman. Konsep ini ialah titik dua hujung dimensi selari yang ekstrim yang menggambarkan bukan sahaja fungsi bahasa tersebut tetapi juga dinamika bahasa dalam lautan perubahan sosial, ekonomi dan politik semasa.


Konsep Seni dalam Bahasa

Konsep seni dalam bahasa merujuk kepada bentuk-bentuk indah , halus, kesucian
yang boleh dicapai oleh sesuatu bahasa berdasarkan keupayaan dalaman bahasa tersebut. Bahasa dapat diumpamakan sebagai bahan mentah yang diolah, diadun, digubah dan dicipta menurut keupayaan dan kekreatifan para pengguna bahasa tersebut sehingga mencapai mercu keindahan yang tinggi. Proses penyebatian di antara bahan atau alat ini dengan daya kreatif manusia inilah yang menghasilkan suatu seni yang indah.

Khazanah warisan bahasa Melayu amat kaya dengan pelbagai hasil seni bahasa yang digubah oleh insan-insan Melayu secara lisan ataupun bertulis. Dengan ini timbullah seni tutur, seni kata, seni penulisan , seni drama, senidalam penceritaan , seni
Sastera, seni persuratan, peribahasa dan sebagainya.

Bahasa Melayu sebagai Pengucapan Seni

Bahasa Melayu sebagai pengucapan seni telah mencapai mercu keindahan dan keberkesanan di tangan sasterawan sufi yang menyerlahkan seninya dalam karya-karya agung sufistik Melalui seni bahasa Melayu sasterawan sufi atau ulama sasterawan berjaya mengungkap puncak keasyikan rohaniah, sesuatu yang diakui sukar ditempuh tanpa memiliki alat bahasa yang canggih dalam kitab-kitab’ kuning’ mereka.

Aliran sufi menggunakan lambang kata-kata atau teks dalam arti kata secara langsung bagi konsep alam jagat raya dan manusia . Kedua-duanya jagat raya dan manusia yang dirupakan sebagai kata atau teks itu diberi urutan tanda-tanda fonetik atau grafik bermakna yang disusun menurut peraturan tertentu.

Bahkan menurut Aziz Nasafi seorang tokoh Sufi termasyhor abad ke – 8 hingga awal abad ke-19, manusia (iaitu mikrokosmos) adalah merupakan “naskah dan alamat” dari kedua-dua alam, iaitu makrokomos dan mikrokosmos. Beliau ditukil sebagai berkata,

Ketahuilah olehmu, bahawa setelah mencipta segala yang ada, Tuhan yang Maha Tinggi menamakannya sebagai alam, kerana alam ialah alamat wujudNya. Di dalam wujud alam ada Ilmu, Iradah dan KodratNya yang berupa alamat dan yang berupa naskah; maka kerana ia adalah alamat, dinamakannyalah sebagai alam; dan oleh kerana iapun adalah naskah, dinamakannyalah sebagai kitab.

Menurut tradisi tasawuf kitab suci Al-Quran dipersamakan dengan kitab-makrokosmos dan kitab mikrokosmos. Kerana makro dan mikrokosmos ialah teks yang menampung ilmu yang tersusun mengikut hieraki tertentu , maka pengenalan ilmu ini sewajarnya dipandang sebagai semacam pembacaan kreatif yang boleh dibandingkan dengan “penulisan kreatif”, iaitu “Penciptaan Ilahi” itu sendiri.

Bahasa Sufistik

Kemahiran ahli-ahli sufi dalam bermain dengan kata-kata yang puitis belaka diteliti oleh Braginsky 1993 dalam penelitiannya tentang Keindahan dalam puisi Tasawuf. . Mereka sengaja menggunakann kemampuan-kemampuan semantik kata bersangkutan sedemikian rupa, agar supaya dalam konteks yang sama kata tersebut dapat sekali gus dapat diartikan baik sebagai Kata Ilahi maupun sebagai kata puisi.

Kecantikan bahasa dan kemampuan bahasa Melayu dalam perlambangan dipergunakan oleh ahli Sufi agung Hamzah Fansuri. Nikmatlah apa yang digubahnya untuk memperkatakan ilmu yang dipetik dari Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam.

Yogia kaupandang kapas dan kain,
Keduanya wahid asmanya lain,
Wahidkan hendak zahir dan batin,
Itulah ilmu kesudahannya main.
Anggamu itu asalnya tahir,
Batinnya arak zahirnya takir,
Lagi kau saqi lagi kau sakir,
Itulah Mansyur menjadi nazir.

Hunuskan mata tunukan sarung,
Isbatkan Allah nafikan patung,
Laut tauhid yogia kauharung,
Itulah ilmu tempat bernaung.

(sumber: Sheikh Syamsudin Ibn Abdullah Sumatrani. Kitab Syarah Rubai Hamzah Fansuri , hal 21 – 8)

Seorang ahli sufi, Atar (dipetik dalam Braginsky 93) pula menulis:

Jangan pandang hina pada kata-kata,
Sebab dua alam penuh dengan satu kata belaka: “Kun!”
Asas kedua alam itu pun tiada lain kecuali kata,
Sebab keduanya diciptakan dengan kata “Kun!, dan dapat
Dimusnahkan dengan kata “La Yakun!”
Kata diturunkan oleh Tuhan yang Mahakuasa,
Kata ialah kemasyuran nabi-nabi…
Muhammad, yang padanya diajukan kata “Kun!”
(iaitu Nur Muhammad, yang padanya dunia diciptakan dengan kata itu).

Seterusnya dijelas bahawa “menjadi raja di malam Isra’” boleh berlaku kerana kekuatan kata. Semuanya terbatas selama belum diucapkan dalam kata,
Lauh al-Mahfuz (yang mengandung prototipe segala yang ada
Menampung segalanya kerana kekuatan kata…

Ilmu dan Bahasa Sufistik

Demikianlah bahasa sebagai seni halus telah mencapai puncak keindahan di tangan ahli-ahli sufi agung dalam menanggapi Ilmu .

Kemudian berfirmanlah Dia: Barang siapa yang akan membaca kitab ini akan mengenal Kami, serta Ilmu dan Iradah dan Kodrat Kami. Kita, manusia , terlalu kecil; sedangkan kitabNya terlalu besar. Maka gagallah pandangan kita untuk melihat tepinya dan seluruh permukaannya. Maka, Ustadz (Terala) yang melihat kelemahan kita , lalu membuat salinan dari alam itu serta menjadikan kitab tersebut lebih kecil. Kitab yang pertama dinamakan alam alam kabir (besar), dan kitab yang kedua dinamakanNya alam saghir (kecil); kitab yang pertama disebutNya kitab besar, dan kitab yang keduanya disebutnya kitab kecil. ……

Dalam Perbendaharaan rahsia-rahsia karya Nizami (abad ke 12) menggambarkan bahawa kata ialah hasil ciptaan yang paling awal.

Sesaat Kalam bergerak pertama kali,
Ditulisnya huruf kata yang pertama.
Ketika tirai penutup tempat rahsia terbuka
Penampilan sulung diberi pada kata.

Pencipta membukakan mata digambarkan begini pula:

Waktu kalam mulai bergerak ulang-alik,
Ia membukakan mata dunia dengan kata.
Kiranya tak ada kata tentang dunia, maka barang siapa pun tak
mendengar tentangnya…..

Kata juga ditampilkan sebagai intipati pencipta mikrokosmos-manusia yang paling dalam:

Selagi kata belum merayu (jiwa) dengan sepenuh hati,
Jiwa pun belum lagi menyerahkan tubuhnya yang bebas pada tanah
Liat…
Di dalam kamus ‘isyq kata ialah jiwa kita,
Kita ialah kata, adapun reruntuh ini kediaman kita.

(Nizami Ganjawi, 1983: 43-44)

Demikian kata dalam sesuatu bahasa yang mempunyai makna yang berlapis-lapis dan amat dalam disenyawakan dalam segala bentuk ilmu jagat raya. Keindahan, kemanisan dalam kata itu juga dipercayai memberi kuasa dan keberdayaan yang amat kuat apabila ia digunakan dalam penciptaan tingkat tertinggi kesenian bahasa.

Khazanah ilmu dilambangkan sebagai hasil dari proses penciptaan - ilmu di cipta oleh Yang maha kuasa hanya dengan Kata. Bahasa pula menjadi kunci untuk manusia mendapat semula atau mencipta semula ilmu tentang alam jagat raya yang dilambangkan sebagai teks atau ‘kitab’.

Oleh sebab kata mendasari segala, lakukan segala dengan kata: tuntutlah ilmu dengan kata. Persebatian antara ilmu dan bahasa tersimpul amat erat . Matlamat terakhir yang harus dicapai oleh manusia dalam proses ‘pencarian’ di dunia ialah ilmu yang tertanam dalam dan dibungkus dengan lapisan-lapisan bahasa. Sebagai sebuah lukisan abstrak keupayaan memahami dan menghayati ilmu bergantung kepada tahap ilmu dan kemahiran orang yang melihat (di sini orang yang membuka bungkusan ilmu itu)


Ilmu dalam Pandangan Islam

Ilmu ialah suatu hakikat kebenaran dari Allah s.w.t tentang segala makhluk dan ciptaanNya di dunia ini - di bumi langit dan angkasa dan cakrawala. Ilmu yang merupakan hak dan milik Allah s.w.t.diamanahkan oleh Tuhan yang dikurniakan kepada manusia yang diberi akal untuk berfikir dan mencarinya. Ilmu yang hakiki ialah ilmu yang dapat menemukan manusia kepada Penciptanya.

Oleh yang demikian, ilmu adalah sesuatu yang sangat mustahak dan perlu dikuasai oleh manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini. Ilmu pengetahuan atau ‘ilm’ dalam bahasa Arab itu hendaklah digunakan ke jalan yang membawa manfaat kepada manusia. Ia tidak harus digunakan untuk membawa bencana kepada alam dan manusia.

Tradisi Pendidikan Islam

Pendidikan disebut “tarbiah’ dalam bahasa Arab, iaitu nama terbitan yang berasal dari kata dasar “rabba” yang bererti “mengasuh, memelihara atau memimpin” , juga boleh diertikan sebagai “memiliki, mentadbir, menguasai, memperbaiki selain erti memimpin dan mendidik “. Kata dasar “rabba” itu juga mempunyai pengertian yang sama dengan kalimah “addaba” iaitu kata dasar yang membentuk nama terbitan “ta’dib”. Addaba juga bererti ‘ mendidik atau mengajar adab atau membentuk akhlak’.

Istilah takdib dari segi terminologinya, memberi makna bahawa dalam proses mendidik atau membentuk, seseorang individu yang terdidik mempunyai kemampuan dalam mengembangkan segala potensinya. Peribadi, sikap, watak atau sahsiah harus selaras dengan sibghah atau acuan pembentukan yang ditentukan atau diredhai Allah s.w.t.

Pakar-pakar pendidikan Islam meyakini bahawa pendidikan yang sebenar dan bersifat ideal ialah pendidikan rabbani iaitu berpunca dari Allah s.w.t. Dengan kata lain, pendidikan manusia dalam semua aspek pembentukan sama ada dari segi jasmani, rohani, akal mahupun dari segi sosial, hendaklah bersumberkan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. Justeru itu falsafah, konsep serta matlamat pendidikan Islam berkait rapat dan mempunyai sebatian dengan roh al-Quran serta perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. (Hj Abdullah Ishak 1995).

Matlamat pendidikan Islam ialah untuk melahirkan individu yang serba lengkap, sama ada dari segi rohani dan jasmani, mahupun dari segi material ataupun sosial, bagi mencapai kebahagiaan hidup keredhaan Allah s.w.t. Insan kamil dan mukmin yang bertaqwa untuk mengabadikan diri kepada Allah s.w.t menjadi matlamat terakhir.

Menurut Islam, pendidikan manusia bermula sejak kejadian nabi Adam a.s. manusia pertama dan bapa kepada semua manusia. Allah s.w.t. bukan sahaja membentuk dan menyempurnakan fizikalnya supaya sesuai menghadapi struktur penghidupan dan masalah di dunia bahkan membentuk dan membimbing aspek-aspek spiritualnya supaya bersesuaian dengan kehidupan sosial yang merangkumi kedua-dua aspek tersebut bagi melayakkan diri sebagai khalifah Allah di muka bumi.

Muktamar Pendidikan Islam Sedunia Kali Kedua, 1980 yang diadakan di Islamabad, Pakistan, merumuskan pendidikan Islam seperti berikut:

“Education should aim at the balanced growth of the total personality of man through the training of man’s spirit, intellect, the rational self feeling and body senses. Education should therefore cater for intellectual, imaginative, physical, scientific, linguistic both individually and collectively and motivate all these aspects toward goodness and attainment of perfection. The ultimate aim of Muslim education lies in the realization of the complete submission to Allah on the level of individual, the community and humanity at large.”


Pendekatan Memperkukuh Peradaban Melayu
Untuk mengukuh peradaban Melayu seharusnya diutamakan pembentukan dan perkembangan ilmu menurut landasan falsafah pendidikan Islam . Aspek tersebut tidak dapat dijayakan melainkan menerusi kurikulum pendidikan jagatraya (universal) yang berkesan dan relevan. Alat untuk mencapai wawasan pendidikan ilmu berlandaskan Islam ini pastilah melalui bahasa yang sesuai untuk menguasai ilmu duniawi dan ukhrawi tersebut.

Telah dibuktikan bahawa perkembangan dan ledakan ilmu setelah kedatangan Islam telah dapat meningkatkan peradapab bangsa Arab . Semasa Islam baru diperkenalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w kebanyakan orang-orang Arab buta huruf ; ketika itu, didapati orang-orang Quraisy yang pandai membaca dan menulis hanya baru berjumlah 17 orang sahaja.

Kelahiran agama Islam di Semenanjung Arab telah merubah struktur kemasyarakatan dan kebudayaan penduduknya. Antara perubahan besar yang jelas kelihatan selain dari kepercayaan agama dan tatacara hidup ialah pandangan dan perlakuan terhadap ilmu pengetahuan dan pendidikan.
Rasulullah memerintahkan umatnya supaya membaca iaitu, mempelajari ilmu pengetahuan.
Ayat pertama, Iqra’ bermaksud
Bacalah dengan menyebut nama Tuhan mu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah.
(Surah al-‘Alaq 96: 1-2)
Konsep belajar dan menuntut ilmu sepanjang hayat diperkenalkan kepada seluruh masyarakat walaupun Rasulullah sendiri tidak literat (buta huruf). Sabda baginda:
Menuntut ilmu ialah satu kewajipan ke atas setiap Muslim.
Tuntutan ini adalah untuk semua insani, tidak kira perempuan atau lelaki, tidak kira kaum bangsawan atau orang biasa, tidak kira apa-apa bangsa, atau warna kulit. Pendidikan ialah hak individu. Lama setelah seruan Islam ini di buat, barulah Dunia Barat sedar tentang kepentingan pendidikan sebegini. Kesedaran tentang pentingnya ilmu dalam ekonomi moden diaplikasi dalam wawasan pendidikan Singapura di mana “Thinking Schools, Learning Nation menjadi slogan yang mendapat kepedulian tinggi di kalangan para cendekiawan dan masyarakat umum.

Ilmu yang dimaksudkan bukanlah ilmu agama sahaja, tetapi segala macam ilmu yang memberi manfaat kepada manusia. Dalam zaman moden, dunia ilmu dalam istilah sains dan teknologi telah dipelopori oleh Barat yang dapat memanfaatkan sumber-sumber ilmu dari cendekiawan Islam khususnya pada zaman Islam berkembang di Sepanyol.

Ilmu sains yang ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu yang mengkaji sekumpulan penyataan atau fakta-fakta dengan cara yang sistematik dan serasi dengan hukum-hukum umum melandasi peradaban dunia moden. Sains merupakan satu proses untuk mencari dan menemui sesuatu kebenaran melalui pengetahuan (ilmu) dengan memahami tabii makhlok, untuk menerangkan hukum-hukum alam, dan undang-undang atau peraturan tabii semula jadi.

Sains memberi penekanan kepada sumbangan pemikiran manusia dalam menguasai ilmu pengetahuan itu, dan ini terdapat dalam seluruh alam semesta. Proses mencari kebenaran secara mencari jawapan kepada soalan-soalan secara yang sistematik dinamakan pendekatan saintifik dan ia menjadi landasan perkembangan teknologi yang menjadi salah satu unsur terpenting peradaban manusia. Ilmu sains sangat-sangat digalakkan untuk perkembangan dan kemajuan kemanusiaan, begitu juga dengan teknologi.

Teknologi berasal dari perkataan ‘tekne’ yang bermakna kecekapan atau kemahiran (skill) atau pertukangan (kraf) iaitu sebagai “cara-cara yang digunakan oleh manusia dalam mengaplikasi ilmu pengetahuan dan kemahiran atau kraf untuk mencapai tujuan tertentu.

Kemahiran pula boleh dicapai (accomplish) melalui ilmu pengetahuan dan kebolehan atau kemampuan sedangkan kraf yang bererti kekuatan atau tenaga (strength, power atau force) diperolehi dengan kemahiran dan pelaziman. Teknologi disimpulkan sebagai penggunaan ilmu pengetahuan secara yang bersistem untuk tujuan yang praktikal , amali yang memudahkan urusan kerja manusia.

Sains dan teknologi kedua-duanya berpusat kepada kemampuan akal dan pembangunan akal untuk pembentukan teori dan konsep, penyelidikan dan penciptaan dan penghasilan barangan dan lain-lain. Dan oleh kerana akal adalah anugerah Ilahi kepada manusia, maka ilmu pada asalnya berpunca dari Yang Maha Kuasa. Sains dan teknologi adalah sejajar dengan semangat rationalisme dan intelektualisme yang di bawa peradaban Islam.

Bahasa adalah Senjata Mencari Ilmu

Bahasa merupakan alat utama untuk menyampaikan dan menerima segala ilmu yang terkandung dalam khazanah dunia ini termasuk menyebarkan dan menurunkannya.
Mengkomunikasikan segala ilmu termasuk sains dan teknologi tersebut kepada manusia lain atau supaya ia disampaikan dan dimanfaatkan oleh orang lain, biasa dilakukan dalam bahasa yang menguasai ilmu pengetahuan tersebut. Walau bagaimanapun, sudah menjadi tabii alam bahawa ilmu atau pengetahuan pertama atau paling awal bagi seseorang kanak-kanak disampaikan oleh ibu bapa dan kemudian dikuasai olehnya melalui bahasa ibunda masing-masing.

Maksud di sini ialah bahasalah yang menjadi alat utama pengluasan dan penyebaran ilmu, punca segala kemajuan moden kepada seberapa banyak individu dalam dunia ini. Buktinya dapat dilihat semasa sejarah sebelum dan sesudah kemunculan agama Islam . Sebelum kedatangan Islam pada kurun ke-7, ilmu hanyalah milik kaum intelek dan bangsawan dalam peradaban-peradan besar dunia, sama ada di kerajaan Byzantine, Roma, Mesir Tua, China, India dan lainnya. Setelah kedatangan Islam ilmu bukan milik kaum atasan sahaja tetapi adalah hak setiap insan.

Bahasa sebagai Senjata Kekuasaan

Bahasa tidak dapat dipisahkan dengan ilmu. Para cendekiawan dan pemikir tertentu dalam masyarakat bangsanya termasuk mereka yang berdarah bangsawan ataupun yang mempunyai kekuasaan agama dan menguasai ilmu. Misalnya dalam ilmu agama Hindu, bahasa Sanskrit yang suci hanya dikuasai oleh golongan atasan kasta Hindu, iaitu kaum Bramin. Ilmu-ilmu tentang agama Kristian yang tersebar melalui bahasa Latin dan Perancis adalah milik kaum intelektual dan paderi-paderi yang istimewa. Begitu juga dengan kaum-kaum lain. Hanya golongan atasan dan intelektual dalam sesebuah masyarakat yang ‘menguasai’ bidang ilmu. Akan rakyat jelata mereka tidak berdaya untuk mendapatkan ilmu kerana beberapa factor politik, sosial dan kadang-kadang berupa kultural. Misalnya kaum-kaum berkasta rendah dalam agama Hindu tidak dibenarkan memegang kitab suci Veda apalagi belajar membaca ‘surah-surah’ suci dari kitab tersebut.

Dalam konteks begini, bahasa seperti bahasa Sanskrit yang suci itu menjadi sebagai senjata kaum atasan untuk terus memegang kuasa ke atas orang-orang berkasta rendah, hanya dengan menghalang mereka daripada mempelajari bahasa suci tersebut.

Dalam sosiolinguistik ada konsep “ bahasa untuk diskriminasi”, jarak bahasa , language for exclusion dan yang bersamaan dengannya. Jelasnya, tanpa mengetahui sesuatu bahasa seseorang atau sesuatu golongan seperti ‘tidak bersenjata’ kerana tidak mempunyai alat untuk membaca apa lagi memahami golongan yang menggunakan bahasa yang tidak diketahui. Maka dengan mengetahui bahasa yang memonopoli ilmu pengetahuan apapun juga, ia seolah-olah menjadi senjata mempertahankan kekuasaan sesuatu golongan meraih faedah dan kuasa ke atas golongan lain. Bayangkan betapa frustatednya kita apabila termasuk dalam sesuatu kumpulan yang bercakap sesama mereka, tanpa memperdulikan kita yang tak faham bahasanya.

Bahasa sebagai alat atau senjata untuk menguasai ilmu telah disedari sejak seruan awal peradaban dunia terutama sejak seruan Islam. Setiap orang, lelaki atau wanita diwajibkan menuntut ilmu tidak kira apakah bahasa yang digunakan untuk mempelajari ilmu tersebut. Bahkan untuk mempelajari ilmu tentang musuh kadang-kadang senjata yang terbaik ialah mengetahui bahasa dan adat resam musuh itu.

Bahasa adalah Alat Perpaduan Ummah

Bahasa juga menjadi alat perpaduan ummah. Umum mengetahui bahawa perpaduan umat Islam amat rapat terhadap saudara-saudara seagamanya. Ini dilakukan melalui bahasa Arab yang menjadi lambang perpaduan Islam bukan sahaja dari segi sejarahnya tetapi juga secara praktis. Melalui surah-surah khas dalam ritual sembahyang seluruh umat Islam, tidak kira bangsa, jantina atau warna kulit dan tingkat sosial - bersatu dalam satu bahasa apabila menghadapi Tuhan yang Maha Kuasa.

Bahasa Melayu sebagai Senjata

Senjata mempunyai dwifungsi. Ia biasa difahamkan sebagai suatu alat yang tajam dan merbahaya yang boleh digunakan untuk melukakan, membunuh atau mengalahkan musuh dalam sesuatu pertempuran atau peperangan. Senjata juga boleh menjadi alat pelindung atau penahan dari serangan. Dengan adanya senjata sesuatu negara akan lebih berhati-hati, dan dalam masa yang sama, ia akan digeruni oleh pihak musuh yang berfikir dua tiga kali jika hendak menyerang.

Kedua-duanya fungsi ‘senjata’ dalam disimpulkan sebagai suatu alat untuk mencapai matlamat atau tujuan. (Kamsiah, 1998). Sealiran dengan pemikiran tentang fungsi bahasa - terdapat berbagai genre bahasa yang khusus berfungsi untuk mencapai atau memperlihatkan tujuan atau matlamat genre bahasa tersebut. Dalam pada itu senjata yang tajam pun boleh mempamerkan keindahan seninya seperti keris yang magis dalam zaman silam.

Ada bahasa yang kuat fungsi seni kurang fungsi senjata dan sebaliknya ada yang memperlihatkan fungsi senjata lebih kuat dari seninya. Misalnya genre dalam bahasa Melayu seperti pantun memperlihat kekuatan seni indahnya dari tajam senjatanya.
Contoh:
Yang kurik kurik kundi,
Yang merah saga,
Yang baik Budi;
Yang indah bahasa.

Suatu perkara yang unik dalam bahasa Melayu ialah wujudnya beberapa jenis kata seperti mantera yang dipercayai mempunyai kuasa ghaib atau magis. Hanya dengan mengucapkan kata-kata tersebut sahaja perkara yang dihajati boleh terkabul.Mantera yang dimaksudkan memang jelas menunjukkan fungsi kuat ‘senjata’ dari seninya. Ini ternyata dalam ilmu kekebalan para pendekar Melayu yang banyak diamalkan pada zaman dahulu:

Bismillahir Rahmanir Rahim paying aku
Malaikat Jibril kota aku
Malaikat empat puluh empat pagar aku
Aku berjalan dengan lenggang Muhammad
Aku berkata dengan kata Allah
Berkat doa Lailahaillah.

Bahkan, huruf-huruf Jawi kerap digunakan sebagai azimat atau senjata mempertahan diri ataupun untuk kekuatan psikologikal dalam menentang musuh. Contohnya, azimat tahan api dan terjauh dari senjata lawan yang diperturunkan di bawah ini.


Azimat Supaya Tahan Api

ﺏ ﺮ ﻞ ﺍ
ﺍ ﺏ ﺮ ﻞ
ﻞ ﺍ ﺏ ﺮ
ﺮ ﻞ ﺍ ﺏ

Sumber: Abdul Hamid Zahwan, 2000


Azimat Terjauh Dari Senjata Lawan

Azimat atau tangkal dirajah di bawah ini pula gunanya ialah supaya terjauh dari senjata lawan. Caranya membuatnya tulis di sekeping kertas putih bersih, dan bawa ke mana-mana. InsyaAllah ia akan menjadikan seorang itu terhindar dari sasaran senjata musuh.


ﺲ ﺪ ﻭ ﻖ ﺍﻞ
ﺍﻞ ﻖ ﺪ ﻭ ﺲ
ﺪ ﻭ ﺲ ﺍﻞ ﻖ
ﺪ ﻭ ﺍﻞ ﺲ ﻖ


Sumber: Abdul Hamid Zahwan, 2000

Bahasa Melayu sebagai Seni dan Senjata Perkembangan Ilmu di Nusantara.

Bangsa Melayu sebelum memeluk agama Islam beragama Hindu Budha dan animisme. Salah satu sebab mengapa kedua agama yang disebut terdahulu itu tidak berkembang hingga kepada golongan rakyat jelata ialah kerana penggunaan bahasa asing yang eksklusif di kalangan Brahmana dan Kesatria Hindu yang menjauhkan diri dari orang-orang di luar istana.

Agama Islam membawa bersama intelektualisme, rasionalisme, penguasaan dan perkembangan ilmu dalam peradaban Melayu. Dalam memperkembangkan Islam, para pendakwah ulama dan sufi dan saudagar Islam menggunakan bahasa Melayu. Kitab-kitab, hikayat ditulis dalam bahasa Melayu (bukan bahasa Arab) dan literasi tersebar di seluruh dunia Melayu. Kadar literasi orang-orang Islam adalah lebih tinggi dari negeri-negeri bukan Islam. Hanya literasi yang dimaksudkan ialah “tahu mengaji” (Kamsiah 2002).

Seni dan Senjata Bahasa dalam Memperkukuh Perabadaban Melayu

Fungsi bahasa sebagai alat komunikasi memang telah diterima secara tuntas oleh pakar-pakar bahasa dan juga masyarakat umum. Manusia dapat berkomunikasi secara yang paling berkesan melalui bahasa, bahkan kewujudan bahasa dianggap sebagai satu prasyarat bagi ukhuwah pergaulan dan interaksi dalam sesebuah masyarakat walaupun tidak dapat dinafikan bahawa isyarat atau bahasa isyarat juga boleh meningkatkan pemahaman atau boleh mengkomplemen atau melengkapkan apa yang tidak dapat dibicarakan melalui bahasa.

Bahasa diucapkan sebagai tunjang jati diri atau identiti sesuatu masyarakat. Dalam masyarakat Melayu hubungkait antara bahasa dan bangsa amat rapat. Dalam sejarah perjuangan bangsa Melayu atau Tanah Melayu untuk mencapai kemerdekaan, isu-isu politik bahasa tidak dapat dipisahkan dengan soal marwah bangsa, penakatan, kuasa politik, ekonomi dan jatidiri Melayu. Sebagaimana dikata, Bahasa menunjukkan bangsa dan kata-kata ini mempunyai maksud yang begitu dalam.

Dalam budaya Melayu kesantunan berbahasa menunjukkan kejernihan fikiran, ketinggian akhlak dan akal budi. Menguasai sesuatu bahasa juga bererti menguasai segala santun dan peraturan yang dipersetujui dalam menggunakan bahasa tersebut. Umpamanya dalam kata alu-aluan , kata silaan , ketika berundur diri dan sebagainya seharusnya menggunakan bahasa beradab dan berperaturan yang tetap, tidak boleh diubah sesuka hati. Kemahiran dalam peringkat tertinggi seperti begini boleh menghasilkan “pertukangan yang bermutu” boleh mencapai tahap “seni” , “budi” yang diidamkan. Oleh itu budi bahasa pun adalah suatu seni.

Dalam perbincangan kami, “senjata” dikaitkan dengan kekuatan, kekuasaan (power) – oleh itu bahasa adalah senjata. Keris melambangan persenjataan Melayu yang paling mengkagumkan. Dalam budaya Melayu silam, keris merupakan senjata yang begitu unik – pembuatannya adalah satu sintesis antara seni, praktis dan efisiensi. Tikaman keris amat menyakitkan sehingga roh bercerai dari badan. Lelaki Melayu yang tidak berkeris di anggap tidak lengkap dalam berpakaian dan hilang wibawanya.Tetapi dalam zaman moden ini keris tidak digunakan lagi dan hanya dapat dikagumi di dalam museum dan perhiasan yang tak mempunyai kuasa.

Dalam memperkukuh peradaban Melayu dan supaya peradaban Melayu berkuasa di dunia kini, berbagai macam ‘senjata moden’ perlu dibuat dan dicipta selain berkeris.
Untuk mencapai tahap ketinggian, keindahan seni, memerlukan pengorbanan dan pengabdian terhadap seni itu atau perasaan cinta terhadap seni tersebut. Ini boleh ditaabirkan sebagai perasaan cinta terhadap bahasa Melayu itu. Untuk memiliki senjata bahasa yang paling tajam, paling berkesan seseorang perlu bekerja keras, berjuang bermati-matian memperlengkap senjata dalam menghadapi perjuangan hidup.

Oleh yang demikian dalam menghadapi persaingan dunia global kini bahasa Melayu seharusnya menjadi senjata kita mempertahankan kewujudan dan jati diri kita sebagai insan yang berperadaban tinggi. Namun untuk sampai ke tahap kemajuan impian amat perlu bagi kita mencipta khazanah ilmu dan untuk ini kita juga harus bersedia menguasai bahasa-bahasa lain yang menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.

Sikap bahasa dan usaha begini yang diperlukan dalam memperkukuh peradaban Melayu . Kita tidak harus hanya setakat memperlengkap korpus bahasa itu sendiri, mempertahankan kewujudan dan jati diri kita untuk menjadi insan yang berperadaban tinggi. Tetapi yang paling penting sekali ialah menyedari bahawa inti atau sari yang hendak dicari ialah ilmu. Kita seharusnya bersenjatakan ilmu.

Kalau senjata dan seni bahasa kita tidak dapat mencungkil ilmu – sama ada ilmu duniawi dan ukhrawi ke tahap yang dapat memberi kesan dan menyumbang kepada peradaban, kita harus mempunyai bersedia untuk menggunakan senjata lain untuk sampai kepada kemuncak seni ilmu tersebut. Sejajar dengan wawasan ini, kita harus bersedia menguasai seni dan senjata bahasa-bahasa lain yang menjenterai ekonomi dan politik dunia hari ini.






Bibliografi

Abdullah Ishak, 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ali Ahmad dan Siti Hajar Che’ Man, 1996. Bunga Rampai Sastera Melayu Warisan Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Braginsky, V.B. (1993). Puisi-puisi Tasawuf: Satu Kajian Teks. Jakarta: Universiti Leiden danPusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Indonesia.

Darlan Zaini Alhaj, (2002). Aksara dan Angka Jawi dalam Tradisi Melayu. Dlm Teori Pemikiran Tamadun Melayu Editor, Mana Sikana, Paitoon Chaiyanara, Zubaidi Abas. Johor Baru: Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan.

Kamsiah Abdullah . Bahasa Melayu sebagai Seni dan Senjata . Buku Cenderamata Bulan Bahasa 1998: Bahasa Cemerlang, Bangsa Gemilang, Malay Language Council, Singapore, July 1998. hal 46-51).
Kamsiah Abdullah. Kita Seharusnya Mencari Kaedah yang Lebih Bermakna Dalam ‘Mengaji’ Al-Quran. Titian Bil 36 Jun 2002, p 19 – 21.

IP : 219.95.68.74

sitizulieani

3 . Dihantar pada 19hb Apr 2004 4.04:01 ptg   [Edit]
kak rusila
hafal jangan tak hafal
nak naik pangkat eek..
semoga berjaya...nanti belanja makan cendol muleh...

IP : 219.95.65.115

BdkMinang

4 . Dihantar pada 19hb Apr 2004 4.05:16 ptg   [Edit]
Tak sangka ada orang yang buat kajian sampai macam ni. Bagus betul. Menarik.

quote:
BAHASA MELAYU SEBAGAI SALAH SATU BAHASA UTAMA DUNIA : IMPIAN ATAU REALITI?

Satu impian yang boleh jadi realiti. Jadi ianya adalah impian.

Sedangkan pelajar2 luar negeri yang datang ke Malaysia ini kita tak wajibkan mereka ambil Bahasa Melayu. Inikan pula kita nak sebarkan ke seluruh dunia. Kita pun tak pasti nak pakai baku atau standard.

IP : 203.106.196.175

rusila69

5 . Dihantar pada 19hb Apr 2004 4.19:03 ptg   [Edit]
Siti,
Kasilah isi...perli lak....
Setakat cendol tuh..kat banda hilir ada satu warung cendol mamak....sodap wa cakap lu.....

Bdak minang,
Sebab tu dikatakan realiti atau impian...harap jadi realiti...

IP : 219.93.48.77

sitizulieani

6 . Dihantar pada 19hb Apr 2004 4.21:48 ptg   [Edit]
kak rusila
ym saya nak...sitizuza284
nakkk sangat ym ngan akak neh

IP : 219.95.65.115

katakhuduh

7 . Dihantar pada 20hb Apr 2004 08.31:12 pagi   [Edit]
best jugak keje ni kan. naik pangkat boleh pakai esei. tapi saya rasa tajuk ni macam dari kupasan peribadi. lepas tu baru masukkan fakta-2 macam usaha, projek dsb.

mula-2 kena definisi. lepas tu kupas tajuk sikit. lepas tu bagi pendapat. lepas tu pertahankan pendapat. tapi kalau tak berapa yakin. carilah serba sedikit maklumat perpustakaan negara / arkib negara, lepas tu buat pendapat dari situ. pun boleh jugak. tapi saya nak bagi satu tips. usahakan bersungguh-2, carik kat universiti luar negara yg mana kat dalam dunia ni yg ada menawarkan kursus bahasa melayu. itu boleh jadi satu point yg agak power

IP : 219.92.114.66

adyzana

8 . Dihantar pada 20hb Apr 2004 08.42:12 pagi   [Edit]
kalau dulu bahasa melayu adalah lingua franca...mesti sekarang pun sepatutnya takde masalah...cuma perlukan penekanan dan penguakuasaan...sungguh2 jadikan bahasa melayu bertaraf antarabangsa

IP : 202.185.111.123

cakchiboo

9 . Dihantar pada 20hb Apr 2004 09.11:57 pagi   [Edit]
Bhs. Melayu Sbg Salah Satu Bhs. Utama Dunia : Impian @ Realiti?

Pengenalan
Sejarah Perkembangan Bhs. Melayu - Dari Zaman Kesultanan Melayu Melaka hingga Era Globalisasi

Isi pertama
Kedudukan Bhs. Semasa di Malaysia
- dari segi perundangan negara
- fungsinya sebagai pengantar ilmu
- fungsinya sebagai alat komunikasi
- nilainya dari segi ekonomi

Isi kedua
Politik kebahasaan
- dukungan politik terhadap bahasa Melayu
- kendala politik terhadap bahasa
- kepentingan bahasa terhadap politik negara

Isi ketiga
Faktor2 untuk Menduniakan bahasa
- kekuatan ekonomi negara
- kekuatan politik negara
- kekuatan pengguna bahasa Melayu
- dukungan kerajaan untuk menduniakan bahasa Melayu

Isi keempat
Pesaing bahasa Melayu di arena antarabangsa
- bahasa Indonesia
- penyebarluasan bahasa Indonesia
- usaha-usaha penyebarluasan bahasa Melayu

Rumusan
Untuk menduniakan bahasa Melayu
- bhs. Melayu mestilah berkedudukan kukuh di tanah air sendiri
- mendapat dukungan kerajaan
- memiliki faktor2 bukan linguistik yg kukuh di peringkat antarabangsa
- ada usaha penyebarluasan bahasa

mudah2an rangka isi ini dapat membantu rusila69...

IP : 161.139.100.202

rusila69

10 . Dihantar pada 20hb Apr 2004 09.37:11 pagi   [Edit]
Motet,
Terima kasih banyak-banyak...sekurang-kurangnya...saya ada bahan utk presentation... Mmmuahhh...!!terima kasih...!!!!

Katakhuduh,
Point awak best lerr... boleh carik kat internet kan?

Adyzana,
Memang betul tuh... Aku pun tak sangka dapat tajuk macam nie...

Cakchibo,
Saya gunakan guan rumusan tuh....terima kasih byak-banyak...

IP : 219.93.48.77

OrangMinyak

11 . Dihantar pada 20hb Apr 2004 10.37:37 pagi   [Edit]
kansellah...

* Mesej ini telah diedit oleh OrangMinyak pada 20hb Apr 2004 10.45:50 pagi

IP : 61.6.67.22

Hantar Topik Baru | Balas Mesej | Cetak Laman Ini
 

 

Pendaftaran | Syarat Penggunaan | Senarai Hitam | Enjin Carian | Soalan Lazim | Hubungi Kami

 

 

Sembang2 versi 7.0c
Hakcipta Terpelihara Kometsoft (M) Sdn Bhd / Melayu.com 1998 - 2003
" Sesiapa yang meniru tanpa kebenaran adalah orang yang sangat jahat "